Khamis, 7 Oktober 2010

Sepintas Lalu.....

HOMESTAY....
" Konsep Homestay adalah menginap  bersama tuan rumah." Terdapat 20 buah rumah yang dijadikan homestay di Pulau Aman.
Homestay Pulau Aman ditubuhkan pada tahun 2008 oleh Pejabat Pelancongan Negeri Pulau Pinang sebelum diambil alih pada tahun 2010 oleh Kementerian Pelancongan Malaysia. Homestay Pulau Aman dinaiktaraf secara berperingkat oleh Kementerian Pelancongan. Selain itu, pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang juga memainkan peranan penting dalam usaha untuk mempromosi dan menyalurkan  bantuan yang diperlukan oleh pihak Homestay. 


PULAU AMAN...          
Pulau Aman merupakan sebuah perkampungan nelayan yang satu-satunya penempatan di Malaysia keseluruhan penduduknya berbangsa Melayu. Mengikut sejarah, Pulau Aman mula didiami pada tahun 1817 oleh penduduk berketurunan Bugis dan penduduk dari Kedah. Pada sekitar tahun 1961, sejumlah besar penduduk telah keluar dari sini dan menyertai Rancangan Tanah Felda di seluruh Negara.


Pulau Aman terdiri dari dua buah pulau iaitu Pulau Aman dan Pulau Gedung yang masing-masing berkeluasan 180 ekar persegi, mempunyai keunikannya tersendiri. Kehijauan pulau yang dipenuhi oleh pokok Sukun dan cerita sejarah tersendiri membuatkan pengunjung di luar sana bagaikan terpanggil untuk datang ke sini. Pulau Aman  hanya boleh dihubungkan oleh jalan laut. Terdapat dua buah bot penambang yang beroperasi dari Jeti Batu Musang ( Batu kawan ) untuk ke sini. 


TEMPAT SEJARAH...
Makam Purba, Gua Lanun, Gedung Peluru, Telaga Emas dan Batu Payung adalah sebahagian dari tempat bersejarah yang terdapat di sini. Menurut sejarah Telaga Emas, seorang pemuda telah menemui mata air yang mengalir di tepi pantai pada tahun 1789 sebelum menggalinya untuk dijadikan perigi bagi kegunaan penduduk kampung. Ketika menggali, cangkulnya terkena objek keras dan selepas diperiksa, objek itu adalah sebuah tempayan emas. Penduduk kampung yang dimaklumkan mengenai kejadian itu telah bergegas dan mandapati tempayan itu telah tiada sebaliknya cuma batu yang berwarna kuning keemasan. Pihak Inggeris yang ketika itu mentadbir Pulau Pinang telah menghantar ketulan batu emas tersebut ke negaranya untuk dianalisis dan mendapati batu itu hanya berwarna keemasan. Terdapat juga Pokok Sukun Pulut  berusia 120 tahun yang ditanam oleh Tok Awang Akib pada tahun 1890,pokok itu merupakan pokok Sukun  yang tertua di Malaysia dan ini disahkan oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia ( MARDI ). 


    
PRODUK...
Pulau Aman terkenal dengan Belacan, Mee Udang dan yang  terbaru, Kuih Kapit yang dihasilkan secara tradisional. Terdapat juga beberapa produk lagi yang dihasilkan oleh penduduk di sini seperti Losyen Gamat, Air Gamat, Ikan Kering dan lain-lain.
Produk-produk ini mendapat sambutan ramai terutamanya Kuih Kapit, Losyen Gamat, Belacan dan Mee Udang.


AKTIVTI....
Anda boleh melakukan banyak aktiviti di sini. Antaranya ialah memancing, mendaki bukit dan meredah hutan, mencari siput, berkayak serta beberapa aktiviti lain. Anda juga boleh menyewa bot untuk mengelilingi pulau dan ke sangkar ikan yang berdekatan.